Neesa masuk wad 15


Hari ini pulang dari kerja, seperti biasa saya menyapu sampah di sekitar kawasan rumah. Bersembang dengan abang Faiz, jiran baru yang menyewa di unit B-4-01. Baru beberapa hari abang Faiz berpindah dari Taman Orkid.

Tatkala saya baru saja selesai mandi, isteri saya mengetuk pintu bilik dengan keras bertalu-talu. Selalunya tak macam ni. Bila saya buka pintu rupanya anak bungsu saya yang berusia setahun sebulan terkulai seperti tidak bernafas dalam dakapan isteri saya. Neesa jatuh di bilik air semasa hendak mandi bersama kakaknya.

Saya cuba beri bantuan pernafasan dan terus membawanya ke Unit kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah. Lemah longlai seketika, kemudian menangis dan terdiam semula semasa dalam perjalanan ke Hospital. Isteri saya kelihatan cemas dan hampir menangis sambil memanggil-manggil Neesa.

Saya memandu agak laju juga, nasib baik jalan tidak sesak. Sampai di Hospital Doktor memeriksanya dan kemudian masuk ke bilik kecemasan. Doktor mengambil dua tabung kecil darah dari tangan kanannya dan memasang jarum disebelah tangan kirinya untuk memasukkan ubat kemudian dibawa ke bilik CT Scan untuk ujian X Ray.

Keluar dari bilik CT Scan, kembali ke bilik kecemasan. Isteri saya yang menemaninya sementara saya menunggu di luar sehingga dipanggil untuk mendaftar kerana anak saya akan dimasukkan ke wad 15. Sampai di wad 15, seorang doktor menemuramah isteri saya untuk mendapatkan beberapa maklumat yang diperlukan. Selesai saja, saya pun berangkat balik. Isteri saya tinggal di wad bersama anak saya.

Dalam perjalanan pulang dari hospital saya singgah di pasaraya Growth Mart untuk membeli beberapa barang keperluan seperti tisu lembab, air mineral, roti dan sebagainya. Sampai di rumah saya arahkan anak-anak saya untuk menyediakan beberapa keperluan yang hendak dihantar ke hospital.

Setelah persiapan dilakukan saya ke hospital semula bersama anak-anak kecuali along yang dah tidur kepenatan sebab ada aktiviti di sekolah petang tadi. Hanya saya seorang dibenarkan untuk masuk ke wad, sementara anak-anak saya yang lain menunggu dil uar. Bila saya masuk saya dapati adik ipar saya Ieda dah berada di sana. Setelah menyerahkan barangan yang saya bawa kepada isteri saya, maka saya pun berangkat pulang kerumah. Sampai di rumah kira-kira jam 11.30 malam, saya arahkan semua anak-anak masuk tidur. Saya tak tidur sebaliknya on komputer dan menulis blog ini. Panjang betul catatan saya hari ini....

0 komen: