Update laman SKBM


Cikgu Hamidi Mohd. Jadi

Petang ini sewaktu saya sedang membersihkan kawasan, isteri saya beri telefon bimbit saya, katanya baru sebentar tadi Cikgu Hamidi menghubungi saya. Saya terus ke bahagian belakang rumah untuk membuang sampah dan saya menghubungi Cikgu Hamidi. Rupa-rupanya Cikgu Hamidi dah pun berada di hadapan rumah saya.

Cikgu Hamidi datang untuk menyerahkan bahan web dan berbincang sedikit tentang update laman SK Bandar Maharani. Ada bahan baru yang hendak dimasukkan. Saya telah diberitahu sebelumnya tentang perkara ini dan saya telah menyiapkan template untuk laman SKBM.

Rasanya dalam beberapa hari ini saya akan sibuk dengan aktiviti up date Laman SKBM

Tanam Pisang

Kerja semakin berkurangan kerana tiada order. Ada rakan-rakan yang bekerja di tempat lain beritahu hanya bekerja empat atau lima hari seminggu. Ditempat saya masih kekal 6 hari seminggu, hanya overtime yang tiada. Hari ini saya menyiapkan dua jenis sample untuk Concorde Furniture dan membuat dua buah meja kecil milik boss sendiri. Meja hiasan untuk menyambut tahun baru cina…

Pulang dari kerja, selepas makan, mandi dan solat, saya bersama isteri dan anak-anak ke kedai runcit di Taman Mawar untuk membeli barang keperluan termasuk juga bahan-bahan untuk membuat kuih seperti kentang, tepung, marjerin, minyak masak dan sebagainya.

Pulang dari kedai saya mengorek dua lubang di belakang rumah untuk menanam pokok pisang yang saya ambil dari kebun semalam. Harap-harap pokok pisang ini akan tumbuh membesar dengan subur.

Daun Pisang

Petang ini saya bersama isteri ke kebun untuk mengambil daun pisang untuk pembalut pulut panggang dan lepat pisang. Tak cukup dengan daun saya bawa balik sekali dua anak pisang untuk ditanam di belakang rumah. Oleh kerana pulang dari kebun dah agak lewat sehingga hampir waktu maghrib, maka tak dapat saya untuk menanam akan pisang yang saya ambil.

Ulang tahun ke 7

Selamat hari ulang tahun kelahiran yang ke 7 untuk effa, anak saya yang ke lima. Baru 2 hari kembali ke sekolah, hari ini terpaksa cuti kerana demam dan batuk. “Ayah, hari ini harijadi adik, belikan kek ye.” itulah pesanannya untuk saya pagi tadi sebelum saya pergi kerja.

Selepas maghrib saya keluar ke bandar untuk membeli kek, air bikarbonat dan beberapa jenis makanan ringan untuk menyambut hari ulang tahun kelahiran Effa. Tak jemput sesiapa pun. hanya kami sekeluarga sahaja. Sebagai kenangan di bawah ini ada beberapa gambar sambutan itu.

Kembali Ke Sekolah


Cuti dah pun tamat, hari ini adalah hari pertama kembali ke sekolah unuk memulakan sessi 2009. Semuanya riang dengan pakaian baru, kasut baru dan buku baru. Semoga semangat kembali ke sekolah hari ini akan berterusan sehingga ke akhir tahun….

Ke HPSF Muar

Petang tadi pulang dari kerja saya terus bersiap untuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah. Hajat untuk menjengah adik ipar saya yang dimasukkan ke hospital semalam kerana panas badan dan bengkak hati. Saya hanya bermotorsikal sahaja bersama isteri dan anak bungsu.

Pulang dari HPSF singgah di kedai runcit di Taman Mawar untuk membeli kentang, tepung, marjerin, minyak masak dan beberapa bahan lain untuk membuat kuih karipap, kuih lompang, pulut panggang dan lepat pisang untuk jualan esok.


Inilah karipap yang telah siap, tunggu esok pagi baru goreng.

Ini adalah satu lagi cara keluarga saya untuk menambah pendapatan. Bulan ini banyak kena keluar duit sebab anak-anak akan memulakan sessi persekolahan pada 5 hb. Januari. Baju, kasut, alat tulis dan buku-buku semua kena beli. Yuran pun kena bayar juga.....