Hari ini saya memulakan kerja setelah lebih sebulan bercuti. Pagi ini saya mulakan dengan membuat sample chair head sebanyak dua set, kemudian front leg sebanyak empat set untuk Feng Yuan Industries.
Selepas itu saya membuat dua jenis mould back leg, juga untuk Feng Yuan industries. Kemudian diikuti dengan mould table leg model Leg 14 XL untuk Digital Industries. Akhir sekali membuat sepuluh set sample table support untuk Xiang Yi Industries. Aduh penatnya rasa tak terperi....
Malam ni selepas Maghrib, saya sekeluarga bertolak kerumah bapa saudara di Parit Amal kerana membantu keluarga bapa saudara untuk persiapan majlis mendirikan balai pagi esok dan kerja kahwin anak sulungnya pada hari Sabtu 24hb Mei 2008 nanti. Ramai sanak saudara berkumpul. Berbagai kerja perlu dilakukan seperti membungkus kuih kering dan memasang kotak untuk diisi telur. Kerja begini dilakukan oleh anak-anak perempuan, sementara perempuan dewasa sibuk di dalam rumah, mengemas, membuat kuih dan memasak untuk makan-makan malam ni.
Anak-anak lelaki pula mengemas di luar rumah dan mengangkat kayu api sementara yang lelaki dewasa pula bergotong royong memasak ketupat segera Adabi untuk jamuan semasa angkat balai esok. Saya, duduk-duduk dan makan sahaja. Orang ramai, kerja sikit jadi biarlah yang muda-muda buat.....
Mutiara Kata
Kiriman:
Ardzham
on 16 Mei, 2008
/
Comments: (0)
"Ada tiga jenis manusia di muka bumi ini. Pertama - belajar daripada pengalaman sendiri; mereka ini dikatakan bijak dan berpengalaman. Kedua - mereka belajar daripada pengalaman orang lain; mereka ini dikatakan cerdik dan dapat menikmati kegembiraan dalam hidup. Ketiga - mereka yang tidak belajar daripada pengalaman sendiri mahupun orang lain; mereka inilah yang hanyut dengan kebodohan sendiri".
Cuci Baju
Kiriman:
Ardzham
on 15 Mei, 2008
/
Comments: (0)
Pagi ini saya jaga Neesa di rumah, isteri saya membatu biras saya di warung kerana seorang pekerjanya tidak dapat hadir bekerja. Setelah memberi sarapan kepada Neesa dan memberi ubat yang doktor beri semalam, saya masukkan Neesa kedalam buaian. Tak lama kemudian Neesa pun tidur. Kemudian saya memulakan kerja mencuci baju. Ala... bukan susah sangat, semua guna mesin. Sambil tu on juga PC dan internet.
Malam selepas maghrib, saya dan isteri membungkus hadiah untuk guru yang kami beli semalam. Setelah siap isteri saya dan empat anak perempuan pergi ke rumah ibu mentua bersama adik ipar saya. Tinggallah saya bersama dua orang anak lelaki berada di rumah.
Keletah Neesa
Kiriman:
Ardzham
on 14 Mei, 2008
/
Comments: (0)
Pagi tadi saya dan isteri saya ke pasaraya Astaka, bukan nak membeli belah tapi sekadar nak meninjau-ninjau harga barang di sana. Beli jugaklah beberapa barang termasuklah gelas hiasan dan kad untuk hadiah sempena hari guru. Anak-anak sibuk minta belikan untuk guru kelas masing-masing. Bagus juga anak-anak dah tau menghargai pengorbanan guru.
Balik dari Pasaraya Astaka terus kesekolah untuk menjemput Effa yang berada di kelas pra sekolah. Sampai di rumah edit layout blog menjadi batik dan layan internet sampai tengahari. Petang jam 3.30 pergi pula ke Poliklinik Komuniti Bandar Maharani untuk check up Neesa, kena suntik dan timbang. Neesa yang lahir pada 05hb Disember 2007 dah 6.6 kilogram.
Anak kecil ini baru pandai menyarap dan berpusing-pusing. Seronok melihat keletahnya setiap hari, sayangnya kamera digital saya masih ditangan abang ipar, belum dikembalikan sejak meminjamnya semasa beliau ke Johor Bahru, jadi tak dapat nak ambil gambar anak kecil ini. Nantilah bila kamera dah dipulangkan saya akan masukkan gambar anak kecil ini.
Sakit Kepala
Kiriman:
Ardzham
on 12 Mei, 2008
/
Comments: (0)
Pagi ni hujan turun dengan lebat sekali, Biasanya saya menghantar anak-anak saya dengan motor sahaja, berulang-ulang hingga empat kali. Sekolah bukan jauh sangat, sekitar 2 km saja. Kerana hujan pagi ini saya menghantar empat orang anak dengan kereta, alahai air cond pulak tak berfungsi. Mungkin gas dah habis walhal baru seminggu saya mengisi gas. Ini bermakna ada kebocoran dan perlukan modal untuk service.
Lepas sarapan pagi tu, saya rasa sakit kepala pulak. Berdenyut-denyut bukan kepalang. Saya sapu minyak cap kapak untuk melegakannya, tak cukup dengan itu saya telan dua biji Panadol. Yelah usia dah meningkat ni kena hujan sikit pun badan dah meragam.
Anak bungsu saya, Neesa juga turut meragam hari ini, asyik menangis tak sudah. Taknak dengan sesiapa pun hanya mahu berdamping dengan ibunya. Bila saya mendukungnya makin kuat dia menangis. Tidur pun sekejab-sekejab saja.
Tayar Bocor
Kiriman:
Ardzham
on 11 Mei, 2008
/
Comments: (0)
Pagi tadi saya sms seorang rakan yang berada di Kemaman. Saya tanya “Buat apa pepagi ni?” Dia balas “Aduss… malang pagi ni sampai je kat pasaraya tengok tayar kereta tak ada angin langsung, spare tayar pun tak ada angin. ni tengah buka tayarlah ni, cobaaannn…
Satu hal yang teramat penting yang selalu kita abaikan sebagai pengguna kenderaan adalah memeriksa tayar spare. Pernah saya terjumpa seorang mamat mengalami kebocoran tayar, nak buka tak bawa spanar pula. Jadi saya pinjamkan spanar untuk membuka roda keretanya. Bila dah terbuka tayar spare pulak takngam sebab jarak lubang skru tak sama.
Kenapa terjadi demikian? Mungkin sebab beli kereta terpakai dan tak pernah tukar tayar. Apa nak buat jika dah terjadi begitu? Terpaksalah bawa roda yang bocor ke kedai tayar untuk tampal atau ganti. Jadi rumusannya :-
1- Sentiasa pastikan tayar spare dalam keadaan baik.
2- Bila membeli kerata terpakai pastikan lubang skru pada rim spare sama dengan rim yang lain.
3- Pastikan jack dan spanar sentiasa ada dalam boot.